Pertalian sesama manusia memang aneh. Kadangkala, ahli keluarga kandung boleh bergaduh dan bertelingkah hingga bercerai-berai, manakala insan yang tiada perhubungan darah pula boleh hidup dengan aman harmoni di bawah satu bumbung. Hubungan dengan keluarga boleh menjadi asing, tapi hubungan dengan orang luar boleh menjadi rapat dan mesra. Kini, hubungan darah bukanlah penentu kepada kebahagiaan sesebuah keluarga...
Menceritakan tentang hubungan kami, entah bagaimana, dari mana hendak aku mulakan. Yang aku ingat, sejak kecil aku duduk bersama datuk dan nenek. Selepas datuk meninggal, neneklah tempat aku bermanja dan mengadu. Papa dan mama sesekali akan pulang ke kampung menjenguk aku. Aku tak tahu kenapa mereka tinggalkan aku di situ dan aku tak pernah bertanya kerana aku bahagia tinggal di situ. Setiap kali papa dan mama datang menjengukku, ada saja hadiah yang mereka bawa tapi... setiap kali bertemu mereka, aku tetap merasa asing walaupun dengan adikku sendiri.
Pernah mereka menyuarakan hasrat untuk membawa saja aku pulang ke Kuala Lumpur, dan nenek... dengan berat hati merelakan tapi apabila tiba harinya, aku menyorokkan diri kerana tidak mahu pulang bersama mereka. Puas mereka mencari dan memujuk aku tapi aku tetap dengan pendirianku. Akhirnya mereka mengalah dan aku dapat lihat keharuan di wajah nenek.
�Biarlah Mah, biar dia tinggal dengan mak saja. Dapat juga dia temankan mak... nanti esok lusa mak dah takde, kau bawalah dia balik... � sayu saja suara nenek. Aku tahu papa dan mama kecewa, aku tak berniat nak menderhaka tapi aku sayangkan nenek dan tak sampai hati nak tinggalkan nenek sendirian di rumah pusaka itu.
Takdir dan ketentuan Illahi memang tak dapat di duga dan dihalang. Hari yang tak ingin aku hadapinya tetap jua tiba... ketika aku baru saja masuk tingkatan empat, nenek sakit teruk dan akhirnya meninggal dunia. Seharian aku menangis kesedihan... selepas saja urusan pengkebumian nenek selesai, papa dan mama membawa aku pulang ke Kuala Lumpur. Seminggu aku membisu dan membatu... aku benar-benar terasa asing dan sunyi di situ. Aku teringatkan rakan-rakan di kampung... Liza, Ima dan Rashid! Akhirnya aku pasrah!
Bersekolah di tempat baru sebenarnya bukanlah mudah, dan berkawan dengan rakan baru di Kuala Lumpur lebih susah. Walaupun papa dan mama orang berada, adikku seorang yang pandaidan ramahnamun... mereka tak sama dengan aku, bukan... aku yang berbeza dengan mereka! Aku dibesarkan di kampung di mana keadaannya amat berbeza dengan di sini, aku benar-benar tidak dapat menyesuaikan diri... lalu aku menjadi lebih pasif dan pendiam.
Pejam celik sudah setengah tahun di sini, banyak lagi benda yang aku belum biasa... lebih-lebih lagi dengan keadaan sosial di sini tapi sekurang-kurangnya aku boleh berbaik dengan adikku, Sufiah cuma... aku masih kekok dengan papa dan mama dan masih merindui arwah nenek serta kawan-kawanku di kampung. Mungkin kerana mereka sentiasa sibuk dengan urusan kerja dan jarang dapat meluangkan masa dengan kami... aku harap aku dapat hidup bahagia dan melupakan kesedihanku tapi tak sangka, mendung jua yang berarak datang.
Adikku meninggal dalam suatu kemalangan jalan raya... kenapa orang yang rapat dengan aku harus semuanya meninggalkan aku? Adakah aku pembawa malang? Astagfirullah... aku cepat-cepat kembali kepada Tuhan yang satu kerana terlanjur fikiran. Papa dan mama sedih dengan kehilangan anak kesayangan mereka tapi aku lebih sedih melihat keadaan mereka...
Sejak Sufiah tiada, mereka sering bertengkar. Mereka menyalahkan antara satu sama lain... aku takut, selama ini aku tak pernah lihat datuk dan nenek bergaduh. Ini kali pertama pula aku melihat papa dan mama, dua insan yang aku kira pasangan paling mesra berperang besar. Yang paling aku tak duga, mereka mengambil keputusan untuk bercerai. Rupanya, mama dah tahu yang papa sudah berkahwin lain dan mempunyai seorang anak yang sudah berumur 8 tahun. Begitu lama papa merahsiakan hal ini dari keluarganya... aku serba salah. Belum puas aku merasai kasih sayang papa dan mama, sekarang aku terpaksa membuat pilihan untuk tinggal dengan seorang dari mereka. Kalau nenek ada, tentu aku tak perlu hadapi semua ini... terasa seolah masalah keluarga kami datang bertimpa-timpa.
Walaupun keadaan banyak berubah setelah papa dan mama bercerai tapi aku masih bahagia. Papa masih sering melawat aku dan kadangkala membawa aku keluar bersama dengan ibu dan adik tiri aku. Setiap kali selepas pulang bersama papa, aku tak berani nak ceritakan apa-apa dengan mama... aku takut mama sedih... terluka!
Sekali lagi takdir memainkan peranan penting dalam hidup kami. Ketika papa dan auntie pulang dari bercuti, mereka meninggal dalam kemalangan. Satu-satunya yang terselamat adalah Zaidi, adik tiriku! Kini, aku dan Zaidi anak yatim tapi sekurang-kurang aku masih ada mama. Zaidi hanya ada neneknya yang sudah tua yang mungkin pada bila-bila masa pulang ke rahmatullah. Puas aku merayu mama... aku tahu mama terluka tapi aku sayangkan Zaidi dan nenek Biah macam aku sayang adik dan nenekku sendiri, aku benar-benar rasa bertanggungjawab untuk menjaga mereka. Akhirnya mama mengalah, bukan kali pertama mama mengalah dengan aku dan setiap kali aku rasa gembira... cuma kali ini, aku sedikit sedih apabila melihat mama tak dapat menerima mereka dalam hidupnya walau kami hidup di bawah satu bumbung. Aku tahu mama kecewa, sedih, terluka... maafkan Suria mama, Suria tak berniat nak mengguris kembali parut di hati mama!
Tuhan memang tak pernah putus dari menguji dan menduga ketabahan hambanya. Beberapa hari ni aku lihat mama sentiasa keletihan, sehinggalah pada suatu hari mama pengsan ketika di pejabat. Rupanya mama mengalami barah tulang... Ya Allah, tabahkanlah hati hambaMu ini! Tak sanggup lagi aku menghadapi kematian keluargaku di saat begini! Mendapat berita sebegitu, nenek Biah sanggup juga menawarkan dirinya untuk diperiksa... mujur juga dia sihat selama ni, jadi tak menjadi masalah sekiranya tulang nenek Biah boleh digunakan. Aku terharu apabila Zaidi juga turut menawarkan bantuan tapi... masakan mungkin, dia masih kecil lagi. Biarlah aku saja yang mendermakan tulang sum sum kepada mama, lagipun selama ini aku tak pernah buat apa-apa untuk mama. Anggaplah aku membalas budi mama...
Ah! Kecewa lagi! Tulang kami tak sesuai untuk mama. Ini bermakna, kami harus mencari atau menunggu tulang yang sesuai untuk mama. Kalau terlalu lama, mama mungkin tak dapat diselamatkan. Walaupun sedih, dalam hati kecil aku masih rasa gembira. Penyakit ini turut membawa rahmat kepada kami sekeluarga. Mama menyedari akan kebaikan dan keikhlasan nenek Biah dan Zaidi. Mama terharu dengan ketulusan mereka untuk membantunya. Mungkin itulah bermulanya Tuhan mula mengasihi kami dan mula merestui keluarga kami dengan rahmat yang amat kami syukuri.
Insan yang pernah mama kecewakan dulu, dengan ikhlas menawarkan bantuan. Tulang Uncle Mizan sesuai untuk mama. Rupanya, selama ni Uncle Mizan masih menyayangi mama dan masih mengharapkan kasih mama. Uncle Mizan memang mengikuti perkembangan mama tapi tak berani menampilkan diri kerana bimbang jika dia dikatakan mempunyai niat. Sekarang, barulah dia berani munculkan diri demi menyelamatkan nyawa wanita yang dicintainya.
Kini, kami hidup bahagia sebagai satu keluarga di bawah satu bumbung. Uncle Mizan telah mengahwini mama dan menerima aku dan Zaidi sebagai anaknya. Mama juga menjaga nenek Biah seperti ibunya sendiri, begitu juga Uncle Mizan. Ramai teman-teman kami agak keliru apabila bin dan binti nama aku dan Zaidi berbeza dari nama suami mama tapi kami tak kisah kerana kami tahu kami bahagia malah, mungkin lebih bahagia dari keluarga yang mempunyai hubungan darah!
Aku semakin mengerti... ikatan utuh yang terjalin di antara satu sama lain bukan kerana hubungan darah tapi lebih kepada hubungan hati. Jika hubungan hati kukuh, tiada apa pun yang bisa meruntuhkan hubungan itu tapi jika tidak... walau ada hubungan darah sekalipun, ia belum tentu bisa membahagiakan sesebuah rumahtangga!
�Suria! Kau buat apa tu? Mari turun makan!�
�Baik ma! Sekejap lagi, dah nak siap artikel ni!�
Aku bersyukur kepada Tuhan. Akhirnya mendung berarak pergi, suria mula menerangi hidup kami... .
No comments:
Post a Comment