KETIKA Saidina Umar al-Khattab mengerjakan tawaf di keliling Kaabah, beliau terdengar doa seorang lelaki.
"Ya Allah masukkanlah aku dalam kumpulan orang yang sedikit."
Terkedu juga Saidina Umar dengan doa yang agak ganjil itu.
Biasanya manusia suka kepada kumpulan yang ramai. Malah, kita sendiri mahu mempunyai ramai kawan. Jika pengikut ramai, lagi kukuh dan gah kita.
Tetapi lain pula halnya dengan lelaki terbabit.
Apabila ditanya, rupanya lelaki itu menjelaskan begini: "Tidakkah tuan baca dalam al-Quran. Allah menjelaskan ayat yang bermaksud:... sedikit sahaja di kalangan hamba-Ku yang bersyukur... " Rupanya, dia berdoa supaya menjadi golongan orang yang bersyukur.
Daripada ayat itu, memanglah Allah memberitahu kita sangat sedikit orang yang tahu
berterima kasih dan bersyukur. Tersenyum Saidina Umar.
Sangat ramai di kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana hendak mendapat yang diidamkan. Tetapi sangat sedikit manusia yang berfikir, bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan dengan apa yang dimiliki.
Kita wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita mendapat jaminan pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada Tuhan Yang Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah.
Firman Allah bermaksud: "Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan.
Tetapi Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar.
Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah. Itulah namanya bersyukur.
Remaja yang sentiasa fikirkan kebaikan orang tuanya juga akan timbul di dalam dirinya rasa ingin membalas budi terhadap segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak terkira.
Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur.
Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.
Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.
Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah' (segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.
Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibu ayah.
Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah.
Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan ikhlas untuk umat.
Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.
No comments:
Post a Comment